Web
Analytics Made Easy - StatCounter

Cukupkah Dengan Hanya Berdoa?

Minggu lepas saya sempat berbicara dengan rakan lama saya yang lama terpisah mengenai hal dunia. Perempuan.. Macam biasalah, bila dah berbual dengan kawan lama pasti banyak cerita sensasi yang hendak digosipkan. Salah satu yang cukup menarik minat saya ialah cerita rakyat mengenai seorang pakcik dengan doanya (saya sendiri tidak mengetahui dari mana sumbernya). Memberikan idea kepada saya untuk menulis dan berkongsi dengan anda.

berdoa

berdoa

Kisahnya begini, seorang pakcik hidup seorang diri di sebuah rumah usang. Pada suatu hari kawasan tempatnya berteduh dilanda banjir. Sebelum air naik lebih tinggi, pihak polis pun berjumpa dengan pakcik itu dan menyuruhnya berpindah ke tempat yang lebih tinggi. Malangnya dia enggan berpindah dan berlalu meninggalkan mereka dengan kata-kata

“tak perlu risau nak, pakcik dah berdoa kepada Tuhan dan Dia telah mendengarnya. Dia tak akan membiarkan sesuatu yang buruk menimpa pakcik ”

Pihak polis pun beredar setelah gagal memujuk pakcik yang degil itu. Esoknya air naik lagi, kali ini pihak Jabatan Pertahanan Awam pula yang mencuba nasib untuk memujuknya. Tapi jawapan pakcik masih sama. “Tuhan telah mendengar doanya dan tidak akan membiarkannya susah”.

Setelah puas memujuk akhirnya pihak JPA pun mengalah dan beredar dari situ. Begitulah seterusnya, ada sahaja alasan yang diberikan oleh pakcik itu setiap kali anggota keselamatan mengajaknya berpindah ke tempat yang selamat.

Dipendekkan cerita pakcik itu pun tenggelam bersama rumahnya dan meninggal dunia. Di akhirat pakcik itu pun berjumpa Tuhan dan bertanya kenapa tidak mendengar doa serta menolongnya semasa dia dalam kesusahan. Kenapa tiada siapa yang memaksanya untuk berpindah! Maka Tuhan pun menjawab dengan melontarkan soalan “semasa pihak polis tiba dan memberikan bantuan apa yang telah kau katakan? Selepas itu apa usaha yang telah kau lakukan?”

Pakcik itu tergamam, rupanya bantuan yang pernah dihulurkan oleh pihak keselamatan sebelum dia tenggelam bersama rumahnya itu datang daripada Tuhan. Rupanya Doanya selama ini telah termakbul! Cuma dia sendiri tidak menyedari.

Bukankah situasi kita juga begitu? Sering kali Kita berdoa, meminta dimurahkan rezeki, selamat di dunia dan akhirat serta pelbagai lagi untuk kesejahteraan hidup tetapi malangnya adakah ia turut disertai dengan usaha yang secukupnya? Berapa banyak tenaga yang terbuang untuk mendapatkannnya? Lupakah kita peribahasa melayu yang berbunyi di mana api berpupuk, di situlah asap keluar?

Itulah sebenarnya paradigma yang sering bercokol di dalam diri masing-masing. Kita terlalu malas untuk membuat perubahan dan hanya mengharapkan orang lain mengubah kehidupan sendiri. Kadangkala tatkala kita berdoa pun, kita kurang faham apa yang telah kita minta. Ada di antara kita minta kaya, tetapi Allah uji dengan musibah yang bertimpa, beri kesusahan, beri kesihatan yang merosot. Terus, adakah itu suatu petanda bahawa doa kita tidak didengar oleh-NYA? Tidak! Allah akan berikan dia kekayaan dalam bentuk yang lain pula, iaitu kaya pahala di akhirat kelak. Sekurang-kurangnya kaya juga bukan? Malah jauh lebih bererti daripada kekayaan duniawi!

Allah berfirman, maksudnya

Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib seseorang atau sesuatu kaum, sehingga orang itu atau kaum itu berusaha mengubah nasib diri mereka.

Jelas bukan? Berdoa sahaja tidak memadai untuk memulakan sesuatu, apa lagi menyentuh bab perubahan. Rasanya tidak perlulah saya huraikan satu persatu maksud Firman di atas bukan? Kerana saya percaya semua sudah sedia maklum mengenainya.

Satu lagi, kita terlalu bergantung harap kepada pertolongan dan kebaikan orang lain. Selalu benar saya tengok orang susah yang kerkeupayaan mengadu domba kepada pihak media untuk meminta pertolongan. Saya tidak kisah kalau individu tersebut orang kurang upaya, anak-anak yatim atau yang mempunyai masalah kesihatan, sudah jelas mereka memang memerlukannya. Tetapi bagaimana dengan mereka yang masih mempunyai tulang empat kerat untuk bekerja? Justeru masih waras akal dan fikirannya?

Minta maaf, sebenarnya ada lagi yang jauh lebih daif daripada mereka di bumi bertuah ini. Betul! Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kemiskinan menyebabkan budak-budak sekolah di Sabah berjalan kaki sejauh 10 KM hanya kerana ingin terus bersekolah!

Atas dasar itulah Nabi Muhammad S.A.W telah menasihatkan kita agar melihat orang yang di bawah bukannya mereka yang lebih mampu, supaya kita tahu bersyukur kepada nikmat-NYA.

Renung-renungkanlah……