Web
Analytics Made Easy - StatCounter

Cerita Orang Politik

Cerita orang politik semuanya nampak kotor. Ya. Ia kotor. Politik di Malaysia makin jijik. Kenapa? Sejak bila politik berkisar dengan salah laku manusia? Sejak bila politik tertumpu pada rasuah semata-mata? Kenapa pemimpin yang sedia ada boleh kaya raya? Bosan. Kononnya pejuang bangsa, tapi asetnya berjuta-juta. Kononnya pejuang agama, tapi cakapnya seperti syurga dia yang punya. Ah, sudahlah.

Cikgu Saad

Aku ingin bercerita tentang “Cerita Orang Politik”. Jika anda orang yang liberal dalam politik, silakan baca. Jika anda fanatik ‘pejuang bangsa’ dan ‘pejuang agama’ , banyak lagi blog yang menarik untuk anda baca. Silakan ke sana.

Cikgu Saad cumalah seorang cikgu tadika. Berkhidmat sebagai pendidik bangsa sejak aku masih kecil sehinggalah ke hari ini. Pun begitu, sebagai cikgu beliau terpanggil untuk membantu komuniti dalam segala segi. Maka beliau memilih Parti Keadilan Rakyat(PKR) sebagai medium membantu rakyat. Hari berganti hari, Bulan berganti bulan, Tahun turut bertukar. Cikgu Saad tetap seperti dahulu, mengajar anak bangsa sambil berkhidmat membantu rakyat yang lainnya dengan menggunakan PKR sebagai salurannya.

Berbeza dengan wakil rakyat atau orang atasan, Cikgu Saad seperti rakyat biasa. Cuma memiliki rumah yang sederhana dan selesa bagi keluarganya. Anak-anak dibesarkan dengan baik, dan salah seorang anak beliau berjaya bekerja di kilang CABOT terletak di PD Utama. Kilang CABOT adalah satu-satunya kilang pemprosesan karbon di Malaysia. Untungla anaknya kerja di CABOT. Anak-anak beliau yang lain turut berjaya. Jadi mengapa Cikgu Saad memilih PKR? Bukan UMNO atau PAS?

Jawapannya mudah, PKR sudah lama menggalas tugas sebagai pembela bangsa Melayu dan penyatu bangsa lain di Malaysia. Cikgu Saad berkhidmat untuk rakyat bukan kerana wang, tetapi kerana minat dan rasa tanggungjawabnya pada bangsa dan negara.

Tapi malangnya, orang seperti Cikgu Saad tidak akan diangkat menjadi mana-mana orang besar di dalam parti. Kenapa? Itu soalan yang aku sendiri tiada jawapannya. Mungkin Cikgu Saad tidak dikenali di seluruh Malaysia mahupun di Selangor, tapi aku yakin beliau dikenali diseluruh Sawah Sempadan.

Jika orang bertanya kenapa aku menyokong PKR, ia adalah kerana orang seperti Cikgu Saad. Orang yang berkhidmat sebenar-benarnya pada penduduk di Sawah Sempadan. Bukan menjadi lintah penyedut duit rakyat.

Apa guna jadi pemimpin kalau hanya untuk kaya? Apa guna jadi wakil rakyat, jika anda tak merasa kesusahan rakyat? Setiap peruntukan untuk rakyat yang anda gunakan untuk kepentingan diri sendiri akan menjadi azab di akhirat kelak. Jika yakin kepada Islam, maka Melayu memang tidak akan mudah lupa.

Biar bernama Melayu, asalkan berakhlak dengan akhlak Islam. Asal Islam disanjung, Muhammad dijunjung, dan Al-Quran tersanjung, Melayu dan Malaysia pasti maju.

Melayu dan Islam itu sinonim. Orang Melayu mestilah Islam. Kerana Islam yang memartabatkan Melayu. Tanpa Islam, apa ada pada Melayu?

Politic is all about serving, it’s not about winning.